Monday, October 25, 2010

Jadi inilah kisah Madrasahku - Alsagoff&Aljunied di Singapura

SYED ABU BAKAR TAHA ALSAGOFF

Pada 22 Januari 1956 telah dikebumikan di suatu tempat di Hadramaut seorang yang telah lama bermastautin di Singapura. Apa yang tidak diketahui ramai ialah jasad yang sedang diuruskan untuk ditanam itu telah menabur bakti yang besar jauh dari tanahairnya - di Asia Tenggara. Begitu halnya tidak yang banyak mengetahui ketika itu di Singapura terdapat satu pusat dakwah Islamiah, selain daripada pusat perdagangan yang sibuk. Dan tenaga penggerak di sebalik kegiatan dakwah itu tidak lain dari Syed Abu Bakar Taha Alsagof yang wafat itu.

Dilahirkan dalam lingkungan sebuah keluarga yang terpelajar dan terkenal alim lebih kurang 90 tahun yang lalu di bandar Seiyun Hadramaut, Syed Abu Bakar Taha Alsagoff mula mendapat pendidikan asas di tempat kelahirannya. Kemudian beliau telah melanjutkan pengajiannya di kota Mekah dan berguru kepada ulama'-ulama' terkenal yang mengajar di Masjidil Haram buat beberapa lama.

BERANGKAT KE SINGAPURA

Setelah tamat pengajiannya di Mekah, beliau pulang ke negerinya Hadramaut. Seperti halnya dengan kebanyakkan orang-orang Arab Hadramaut yang suka merantau pada masa dahulu, Singapura adalah menjadi tempat yang dituju oleh Syed Abu Bakar. Di samping berniaga, beliau berdakwah. Beliau menyertai jawatankuasa pembinaan Madrasah Alsagoff.Tetapi bagi Syed Abu Bakar Taha Alsagoff, kecenderungan kepada dakwah Islamiah dan pendidikan mengatasi yang lain. Kerana itu setelah beberapa tahun di Singapura, beliau pulang semula ke negerinya pada tahun 1920. Disana dia mengasaskan sebuah madrasah yang dinamakan Madrasatun Nahdah Ilmiah dengan dia sendiri menjadi guru besarnya. Dari namanya dapatlah diketahui bahawa sekolah yang diasaskannya itu bercorak moden, mengikut kacamata zaman dua puluhan.

Pada tahun 1927 beliau datang sekali lagi ke Singapura buat jangka masa yang amat panjang. Kedatangannya yang kemudian inilah yang menampakkan dengan jelas diri Syed Abu Bakar Alsagoff sebagai tokoh dakwah dan pendidik yang ulung.Pada ketika itu, Madrasah Aljunied Al-Islamiah di Victoria Street baru sahaja selesai pembinaannya oleh hartawan terkenal Almarhum Syed AbdurRahman Junied Aljunied. Menurut pandangannya tidak ada orang yang lebih layak mengendalikan madrasah yang baru terbina melainkan Almarhum Syed Abu Bakar Alsagoff yang akhirnya menerima tugas tersebut dengan penuh rasa tanggungjawab.

Selama lebih kurang 28 tahun (1927-1955) Almarhum Syed Abu Bakar Alsagof mencorakkan Madrasah Aljunied itu sehingga menjadi sebagai sebuah pusat pendidikan dan dakwah Islamiah yang terkenal di Singapura. Ada dua dasar utama yang digariskan oleh Syed Abu Bakar Alsagoff bagi Madrasah Aljunied. Yang pertama ialah menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa pengajaran sekolah dari kelas bawah hingga ke atas. Yang kedua ialah mengajarkan pelajaran-pelajaran Islam mengikut kaedah pendidikan yang moden, walaupun pada masa beliau sendiri belajar di Masjidil-haram kaedahnya adalah cara halaqah.

Tetapi keistimewaan Syed Abu Bakar sebagai seorang pendidik ialah dalam pelaksananya. Dia menggunakan dua kombinasi yang mustahak; ketegasan pada masa yang diperlukan dan simpati pada waktu-waktunya. Dengan demikian displin pelajar-pelajarnya dapat dikawal. Selain itu keikhlasannya kepada ilmu menjadikannya seorang yang dihormati. Untuk meramaikan bilangan pelajar yang datang ke Madrasah Aljunied, beliau mendirikan sebuah rumah tumpangan pelajar-pelajar dagang. Rumah tumpangan itu didirikan di Java Road yang cukup dengan kelengkapan-kelengkapan asas.

Dengan demikian ramailah para pelajar dari luar negeri belajar di Madrasah Aljunied. Ini termasuklah mereka datang dari ceruk rantau ini dari Indonesia, Filipina, Brunei, Malaysia sand Singapura sendiri.Pelajar-pelajar luar negeri yang datang untuk belajar dibenarkan tinggal dengan percuma sepanjang masa mereka belajar di Madrasah Aljunied. Makan minum mereka ditanggung oleh para dermawan. Beberapa orang penguasa kedai telah didekati untuk mendapatkan makanan percuma bagi pelajar-pelajar yang sangat susah kehidupannya.

USAHA MEMBUAHKAN HASIL YANG BAIK

Usaha-usaha yang dimulakan oleh Syed Abu Bakar ini ternyata amat berjaya. Pelajar-pelajar yang tamat dari Madrasah Aljunied samada yang belajar sebelum atau sesudah perang dunia kedua telah pulang ke tanahair mereka masing-masing. Di tanahair mereka sekarang para pelajar itu mencurahkan bakti menyebarkan agama Islam. Diantara ratusan (mungkin ribuan) nama yang tersenarai sebagai bekas pelajar-pelajar Madrasah Aljunied itu terdapat nama beberapa orang yang terkenal dalam bidang dakwah di negeri masing-masing. Diantaranya:

Di Filipina selatan - Yahya Rajai (guru agama); mengikut laporan yang diterima, sepanjang hayatnya beliau ini telah mendirikan sebanyak 106 buah madrasah meliputi seluruh kepulauan Sulu termasuk Palawan. Ismail Badahdah dan banyak lagi.

Di Serawak - Haji Abdul Kadir Hasan (Mufti), Haji Murtadha (Yang dipertua Pejabat Agama) serta beberapa pegawai agama yang lain.

Di brunei - Pehin Haji Muhammad Zain (Yang dipertua Pejabat Agama), Pehin Haji Abdul Hamid (Mufti) serta ramai lagi.

Di semenanjung Malaysia - Haji Arshad Masjuri (Mufti wilayah persekutuan), Haji Hasan Azhari (Qari terkenal) dan lain-lain

Di Singapura - Syed Isa Semait (Mufti), Haji Abu Bakar Hasyim (Presiden Mahkamah Syariah), Haji Daud Ali (Pensyarah terkenal), Ahmad Sonhadji Muhammad (pengarang kitab tafsir Alquran dan pensyarah), Syed Abdillah Aljufri (Pensyarah, Mudir dan Presiden PERGAS) dan ramai yang lain yang sedang memberikan khidmat mereka.

Selepas perang pasifik pelajar-pelajar luar masih datang belajar di Madrasah Aljunied sehingga tahun-tahun enam puluhan bila berlaku perubahan-perubahan yang besar di Singapura.

Selain dari Madrasah Aljunied, semasa hayatnya Almarhum Syed Abu Bakar sangat aktif dalam masyarakat dan juga penulisan.Sebagai kenangan kepada seorang tokoh dakwah yang besar dan jasawan yang ulung serta pendidik kepada ribuan murid-muridnya maka diturunkan di bawah ini sepotong syair klasik Arab yang
berbunyi:

Ahlul ilmi hayyun khalidun ba'da mautihi wa ausoluhu tahtat turabi ramimu 
Ahli ilmu kekal hidup selepas kematiannya. Jasanya yang baik dikenang sepanjang zaman.

Mudah-mudahan ruh yang kukuh dari Almarhum itu ada bersama-sama ruh-ruh para solihin.


(artikel ini dipetik dari Majalah Memperingati 50 Tahun Madrasah Aljunied Al-Islamiah)


for English version - http://www.ibnyahya.com/

No comments:

Post a Comment